INPUMA anjur sesi libat urus awam himpun input Rancangan Malaysia ke-13 di Sabah
KOTA KINABALU - Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya mengadakan sesi libat urus awam selama dua hari di Sabah bagi mendapatkan pandangan dan cadangan daripada penduduk setempat bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Sekitar 200 orang telah mengambil bahagian bagi berkongsi pandangan dan cadangan masing-masing dalam sesi libat urus di Sandakan semalam dan Kota Kinabalu, hari ini.
Rata-rata mereka yang hadir mengutarakan idea yang berkisar kepada keperluan kemudahan sosial seperti bekalan air dan elektrik, dan pembangunan ekonomi yang mampu menjana peluang pekerjaan dan menaikkan taraf hidup rakyat.
Antara peserta yang berkongsi pandangan semasa sesi libat urus awam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), yang diadakan di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, Sabah hari ini. - Gambar ihsan INPUMA, 20 Julai, 2025
Sesi hari ini, yang kedua dalam siri pertemuan yang sedang dianjurkan oleh INPUMA, telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri II Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Peto Galim. Turut hadir Pengarah Eksekutif INPUMA, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff. Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Abdul Rahman Mohd Yakub juga hadir sama.
Menurut Dr Anis, kedua-dua sesi telah mendapat sambutan yang baik daripada para peserta, di mana mereka telah berkongsi pandangan yang jujur dan membina untuk pertimbangan kerajaan.
Kata beliau, kedua-dua sesi di Sandakan dan Kota Kinabalu telah menghasilkan maklumat atau input yang bernas, yang amat signifikan bagi menggubal dasar kelak.
“Lebih 100 orang hadir pada sesi libat urus awam di Kota Kinabalu, kami telah menerima input yang bernas, yang kita boleh garapkan sebagai isu… isu-isu kemiskinan, pendidikan, isu luar bandar, struktur, sistem penyampaian.
“Kepada kita isu-isu seperti ini menceritakan masalah setempat, penting untuk difahami… supaya kita dapat menyediakan polisi, benar-benar kita memahami dalam penyelesaian masalah di kawasan di luar bandar.
“Masalah di Sabah ini hanya diketahui oleh orang-orang di Sabah. Jadi, usaha yang kami lakukan ini untuk kita faham denyut nadi orang Sabah supaya isu-isu ini boleh dibawa ke pusat agar penyelesaiannya tuntas… jadi yang mereka berikan hari ini sangat baik,” kata beliau di akhir majlis sesi libat urus.
Seorang lagi peserta yang turut berkongsi buah fikiran dan saranan semasa sesi libat urus awam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), yang diadakan di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, Sabah hari ini. - Gambar ihsan INPUMA, 20 Julai, 2025
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya hari ini, Galim menyambut baik usaha INPUMA bagi mendapatkan input untuk mengukuhkan lagi proses penggubalan RMK13 oleh Kerajaan Pusat.
“Sesungguhnya Sesi Libat Urus Awam ini merupakan satu langkah atau pendekatan yang amat membina dan konstruktif dalam mendapatkan pandangan pelbagai pihak, yang dipercayai dan diyakini, akan membantu pihak Kerajaan dalam mendapatkan sebanyak mungkin input, pandangan, cadangan dan idea daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya rakyat Sabah.
“Kami di Sabah amat menggalakkan pendekatan seperti ini yang sudah pasti akan mengeratkan hubungan antara Kerajaan Pusat dan Negeri. Dan, kami pun berbangga kerana dapat sama-sama membantu dalam proses himpunan maklumat berharga,” kata beliau.
Rancangan Malaysia kali ini merupakan Rancangan Malaysia kali ke-13 sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Negara telah membentangkan 12 Rancangan Malaysia, dan akan datang ialah yang ke-13 atau RMK13. Sebelum Rancangan Malaysia negara menggunakan Rancangan Malaya Pertama dan Kedua.
Kata beliau, pihaknya gembira kerana Sabah dipilih sebagai destinasi, untuk terlibat sama dalam proses mengumpul dan menghimpunkan input yang disasarkan.
Sesi hari ini merupakan sebahagian daripada kajian yang diusahakan oleh INPUMA, UM untuk mendapatkan maklum balas rakyat tentang cabaran dan dugaan yang dihadapi rakyat, sebagai usaha tambahan kepada usaha yang telah dibuat oleh pihak kerajaan bagi menentukan agar rintihan rakyat ini tidak terlepas pandang dan diberi penelitian mendalam, agar polisi awam yang bakal dibentuk nanti mengambil kira cabaran-cabaran ini.
“Lebih enam dekad lalu, proses tinjauan awam telah diadakan untuk mendapatkan pandangan membentuk Persekutuan Malaysia. Rakyat bandar Sandakan juga turut sama.
“Hari ini, kita kumpul untuk tujuan yang sama, iaitu berkongsi pandangan bagi menggubal RMK13. Dua matlamat utama dan penting dalam penggubalan Rancangan Malaysia ialah pembangunan ekonomi dan pembasmian kemiskinan.
“Kedua-duanya telah menjadi matlamat asas proses penggubalan Rancangan Malaysia.
“Kami yakin lebih banyak program, aktiviti dan inisiatif akan diperkenalkan untuk memajukan Sabah dan juga mengimbangi pembangunan, sekali gus mengatasi ketidakseimbangan ekonomi dan pembangunan di antara wilayah – Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” kata Galim lagi. - 20 Julai, 2025
The post INPUMA anjur sesi libat urus awam himpun input Rancangan Malaysia ke-13 di Sabah appeared first on Scoop.